Bahang pilihanraya semakin dirasai. kepada rakan-rakan yang berumur 21 tahun keatas atau dengan istilah lainnya seseorang yang sudah layak mengundi boleh menunaikan tanggungjawab mereka terhadap negara secara berhemah.
Kesedaran mengundi dikalangan anak muda dilihat kurang memberangsangkan. Apakah punca yang menyebabkan perkara ini terjadi? Adakah anak-anak muda zaman sekarang tidak nampak betapa pentingnya peranan sesorang pemimpin dalam menentukan corak masa depan negara?
Secara garis besar, anak muda Melayu sebenarnya tidak begitu berminat
apabila orang lain mula menyebut tentang pendaftaran mengundi dan
tanggungjawab mengundi. Malas masuk campur adalah antara yang dirasakan
oleh sebahagian besar mereka. Persepsi yang salah tentang mendaftar dan mengundi adalah apabila ia
ditafsirkan sebagai berpolitik walhal ia merupakan suatu hak
dan tanggungjawab seorang rakyat. Anak muda kadangkala terlupa atau tidak mengetahui bahawa
sebelum merdeka kita di Malaysia tidaklah seselesa apa yang dirasakan
pada hari ini. Sebagai bangsa yang merdeka, semua pihak bersemangat ingin ikut serta
dalam memajukan negara. Sebagai contoh, kini mereka mempunyai hak yang
sah untuk menentukan wakil mereka dalam pembentukan kerajaan. Tidak
hairan pada pilihanraya umum negara yang pertama, peratusan rakyat yang
keluar mengundi merupakan peratusan yang tertinggi dalam sejarah!
Menentukan kerajaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab
memastikan pertumbuhan Malaysia positif kerana kerajaan dan pemimpin
yang baik akan memberi hasil kerja yang lebih baik. Ia tidak boleh
dibuat sewenang-wenangnya dan tidak juga boleh diendahkan begitu saja.
Selain ia adalah sebuah hak, mengundi juga sebahagian dari tanggungjawab
seorang rakyat.
Sebagai anak muda, kalau ingin selesa dan mengambil sikap malas
fikir, ramai sebolehnya malas ikut campur dalam urusan tersebut. Walau
bagaimanapun, memikirkan perjuangan orang terdahulu, sebagai seorang
dewasa, tidak mahu mengambil tahu tentang perkara tersebut beerti
menghina perjuangan mereka. Tanpa perjuangan mereka terdahulu, mungkin
hari ini kita masih anak seorang petani dan mungkin hanya menjadi
seorang petani.
Mendaftar dan mengundi adalah satu
hal yang perlu dibuat, memilih dengan baik pula adalah satu tuntutan
yang perlu difikirkan. Daftar dan mengundilah kelak dengan bijak. Kini sudah tiba
giliran kita untuk menggalas tanggungjawab meneruskan perjuangan
Malaysia.
No comments:
Post a Comment