Baru-baru ini, penulis yang berada di Gaza atas tujuan rakaman siri
dokumentari dijemput oleh kerajaan pemerintah Gaza, Hamas untuk
mengunjungi pusat latihan Al-Qassam bagi menyaksikan satu demonstrasi
latihan taktikal serangan briged itu. Difahamkan, peluang itu jarang
sekali dibuka kepada rakyat Palestin apatah lagi orang luar. Penulis diberi taklimat oleh komander yang tidak mahu dikenali atas
tujuan keselamatan. Beliau berkata, briged elit itu dianggotai oleh
pemuda berusia 30 tahun dan ke bawah sahaja.
"Objektif utama penubuhan Al- Qassam adalah mempertahankan tanah suci
Palestin daripada penjajahan Zionis yang zalim, membebaskan tanah
Palestin dan seluruh tanahnya yang dirampas di Tebing Barat serta
memantapkan semangat jihad dalam kalangan orang Palestin," katanya. Apabila ditanya jumlah tentera Al-Qassam pada masa ini, komander
tersebut yang pada mulanya enggan menjawab memberitahu, bilangannya
dalam lingkungan 25,000 orang.
"Peraturan kami yang paling ketat ialah setiap tentera mesti solat lima waktu sehari secara berjemaah," ujarnya. Tambah beliau, Al-Qassam juga mempunyai skuad wanita tetapi bukanlah barisan yang paling penting. "Kami menggunakan wanita apabila keadaan memaksa. Contohnya, pernah
sekali tentera kami dikepung oleh tentera Israel dalam sebuah masjid.
Kami menghantar tentera wanita untuk masuk ke dalam masjid bagi
menyerahkan baju lain kepada anggota yang terperangkap. Kemudian mereka
berlakon keluar seperti orang biasa. "Walaupun kami kehilangan tiga wanita dalam operasi itu, kami tetap
berjaya kerana begitu ramai askar yang dapat diselamatkan," katanya.
Sudah menjadi perkara biasa apabila kedengaran letupan dan bunyi
tembakan di Gaza bukan kerana serangan tentera Israel sebaliknya sesi
latihan Al-Qassam. "Di daerah Al-Zaytun, tentera Israel hanya memerlukan 10 minit untuk
memasuki tanah Gaza dengan kereta kebal. Oleh itu, kami terpaksa
bersedia setiap masa," kata seorang tentera Al-Qassam. Briged ini juga terkenal dengan roket Al-Qassam, roket artileri
buatan sendiri yang dikeluarkan dalam tiga model sepanjang tahun 2001
hingga 2011. Roket itu ditembak dari Gaza dan sering membawa kemusnahan
yang dahsyat sehinggakan media Israel menggelarkan setiap roket yang
memasuki Semenanjung Barat sebagai Qassam.
Penulis disajikan dengan satu demonstrasi selama lima minit dengan 20
tentera yang memainkan pelbagai peranan. Demo teknikal itu membabitkan
dua kumpulan yang menyerang sebuah rumah kosong manakala sebuah kumpulan
lain bertindak sebagai pasukan bantuan. Satu lagi pasukan akan
memastikan tiadanya bantuan daripada tentera musuh (Israel). Demonstrasi itu menggunakan peluru hidup, bom tangan, mesingan,
senapang AK-47 dan roket grenad. Demonstrasi itu cukup membuktikan
betapa hebatnya generasi muda ini dan wajarlah tentera Israel seramai
700,000 orang cukup gerun dengan Al-Qassam. Sesudah sesi latihan itu, kesemua askar tersebut berkumpul dan
bersujud syukur - satu amalan penting setiap kali sesudah satu
peperangan melawan tentera Zionis.
Penulis juga dibawa berjumpa dengan beberapa tentera Al-Qassam
sebelum mereka bergegas untuk menunaikan solat Asar. Namun, penulis
diberitahu rakaman gambar tidak dibenarkan kerana ingin merahsiakan
identiti setiap anggota mereka. Penulis terkejut apabila mereka membuka topeng hitam mereka,
kesemuanya mempunyai muka bersih dan bersinar, jelas nampak keikhlasan
untuk menjadi tentera Islam yang tidak takut mati.
Salah seorang tentera bertanyakan negara asal penulis dan apabila
disebut Malaysia, beliau menjawab: "Tanah ini milik kamu juga." Jawapannya membuat penulis terkedu kerana maknanya sangat mendalam. Sejak Intifada pada tahun 2000, seramai 800 askar Al-Qassam telah
mati syahid. Bahkan apabila seseorang tentera Al-Qassam pulang daripada
peperangan, mereka sering akan bertanyakan kepada diri sendiri -
'MENGAPAKAH SAYA TIDAK SYAHID?'
P/S: KOSMO, AHAD 13/5/2012 halaman JURNAL
memaparkan kisah 'Impian pejuang berani mati Palestin' hasil coretan penulis,
Razlan Rashid. Sangat tersentuh hati dan terharu kala membacanya. Amat
berbangga dengan anak-anak muda Palestin yang sentiasa berkobar-kobar
ingin memerdekakan tanah air mereka. Adakah kita sebagai anak-anak muda Malaysia
mempunyai semangat sebegitu?
Renung-renungkan...tanyalah iman...
No comments:
Post a Comment